Selamat Datang Ke Page Kemaman Wedding Photographer Murah, Whatsapp : 014-2017489

Tutorial


Tag-along’ atau secara ringkasnya TA adalah proses di mana seseorang jurugambar menyertai jurugambar lain (selalunya jurugambar rasmi) dalam tugasan-tugasan penggambaran tertentu. Budaya TA ini paling popular dalam bidang fotografi perkahwinan kerana peluang yang terbuka luas dan senang diperolehi. Walaupun begitu masih ramai yang tidak memahami erti dan tujuan sebenar proses TA ini. Tidak dinafikan beberapa etika atau tatatertib mesti dipatuhi jika anda ingin menjadikankan ia sebagai salah satu alat pembelajaran yang berkesan.

MENGAPA PERLU ‘TAG-ALONG’ ?

 i) TA sebagai peluang pembelajaran tidak rasmi Jurugambarr baru boleh menggunakan peluang TA ini sebagai salah satu cara pembelajaran tidak rasmi yang tidak memerlukan belanja yang tinggi. Jika menghadiri kelas dan seminar memerlukan ratusan mungkin ribuan ringgit, pembejaran melalui TA selalunya hanya melibatkan kos pengangkutan ke tempat majlis sahaja. Disamping masa yang fleksibel, anda juga boleh memilih mana-mana jurugambar (jika diberi kebenaran) untuk menjadi ‘tagger’.


ii) TA sebagai peluang untuk memantapkan kemahiran dan mencuba benda baru Jurugambar lama boleh menggunakan peluang TA ini untuk mencuba teknik-teknik atau konsep baru yang mungkin tidak berkesempatan di lakukan semasa melakukan tugasan sendiri. Melalui TA, jurugambar ‘tagger’ tidak terikat dengan shots tertentu untuk majlis dan ini memberi kebebasan kepada tagger untuk menghasilkan apa saja gambar yang difikirkan sesuai.

PERKARA-PERKARA YANG MESTI DI PATUHI SEMASA ‘TAG-ALONG’

iii) Perkenalkan diri anda


Perkenalkan diri anda sebagai pembantu atau jurugambar bersama (co-photographer) kepada jurugambar rasmi (OP) supaya pelanggan / pengantin tahu kehadiran anda. Perkara ini sepatutnya dilakukan oleh OP terlebih dahulu. Kegagalan memperkenalkan diri mungkin menyebabkan pihak pengantin atau keluarga mereka tertanya-tanya akan kehadiran anda dan ini boleh menimbulkan keraguan dan sebagainya.

iv) Hormati pelanggan OP dan juga majlis mereka

Hormat pelanggan OP sebagaimana anda menghormati pelanggan anda sendiri. Jika berlaku sesuatu yang tidak dingini (salah faham dan sebagainya) sila dapatkan OP secepat mungkin. Tindakan anda membuat keputusan sendiri mungkin boleh memburukkan lagi keadaan.

v) Hormati / beri keutamaan kepada OP

Dalam masa mengambil gambar-gambar moment tertentu atau mencari angle yang terbaik, keutamaan mestilah diberikan kepada OP. Walaupun kadangkala anda mungkin merasakan tidak mahu melepaskan peluang keemasan mendapat ‘shot of the day’ tetapi perlu diingatkan bahawa OP lebih dipertanggungjawabkan untuk menjalankan tugas, bukannya anda.

vi) Bertanya kepada OP jika ada terma dan syarat (T&C)

Sesetengah OP mengenakan terma dan syarat kepada jurugambar-jurugambar yang ingin menyertai TA, seperti tidak boleh merokok semasa majlis, tidak berpakaian yang mempunyai nama / logo syarikat sendiri, hakcipata ke atas gambar-gambar yang diambil dan sebagainya.Jika OP tidak menetapkan apa-apa T&C, maklumkan kepada OP mengenai perancangan anda seperti pakaian apa yang akan dipakai semasa tugasan dan di mana anda akan gunakan gambar- gambar yang telah diambil (website, sebagai portfolio dan sebagainya).

vii) Bertanya kepada OP jika majlis tersebut mempunyai special requirement

Pastikan anda membuat persediaan yang sepatutnya jika majlis mempunya kod pakaian tertentu dan protokol-protokol yang mesti dipatuhi.

viii) Promosikan syarikat OP jika perlu

Disinilah terletaknya budi bicara anda sebagai ‘tagger’ kepada seseorang OP. Seperti yang dimaklumkan, TA adalah peluang untuk anda belajar secara ‘live’ ataupun secara ‘hands-on practical’ bagaimana seseorang jurugambar itu mengendalikan sesuatu majlis perkahwinan. Jadi, mempromosikan syarikat OP merupakan salah satu cara untuk anda membalas budi OP yang memberi sedikit ilmu dan peluang untuk anda belajar. Walaupun ini bukan satu kemestian, tetapi untuk jangka masa panjang anda sebenarnya mengukuhkan ikatan persahabatan dengan jurugambar-jurugambar yang lain. Walaupun kadang-kala OP tidak meminta anda mempromosikan syarikat mereka, tidak pula bermakna anda boleh memberi kad perniagaan (business card) atau mempromosikan syarikat anda sendiri semasa majlis. Perbuatan ini dilihat sebagai tidak sesuai kerana anda sebenarnya berada di majlis yang dikendalikan oleh OP, bukannya anda. Dengan mempromosikan syarikat sendiri, anda juga sebenarnya mengelirukan tetamu yang datang kerana mereka mungkin suka dengan gaya, penampilan atau hasil dari OP tetapi disebabkan mereka mendapat kad perniagaan dari anda, mereka mungkin akan menganggap OP adalah dari syarikat yang sama. Masalah akan timbul jika pelanggan menghubungi anda dan bukan jurugambar rasmi untuk bertanya tentang pakej.


ix) Beri gambar-gambar yang anda ambil kepada OP

Walaupun ini juga bukan satu kemestian, tetapi ia adalah salah satu cara untuk anda mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada OP. Walaupun kadang-kala OP selalunya tidak memerlukan gambar anda (kecuali di dalam keadaan tertentu), dengan memberi gambar-gambar ini anda sebenarnya membuka peluang untuk menunjukkan bakat anda dalam bidang fotografi perkahwinan (jika anda jurugambar baru) kepada OP dan mungkin berpeluang dilantik sebagai jurugambar kedua atau pembantu berbayar untuk majlis-majlis akan datang. Dengan memberi gambar-gambar ini juga anda boleh meminta OP untuk memberi sedikit komen dan pandangan (photo critics) ke atas hasil kerja anda.


x) Tidak membuat pembatalan di saat-saat akhir

Pembatalan disaat-saat akhir tidak digalakkan (kecuali atas situasi-situasi yang tidak dapat dielakkan) kerana ia akan menyusahkan OP, yang mungkin sudah membuat tempahan meja makan dengan pihak pengantin, atau OP mungkin sudah mengatur sesuatu tugasan untuk anda semasa majlis berlangsung dan sebagainya. Pastikan jadual anda betul-betul dikosongkan untuk sesi TA ini kerana jika sekali anda membuat pembatalan di saat-saat akhir atau tanpa alasan yang kukuh, peluang anda untuk TA dengan jurugambar yang sama adalah tipis di masa akan datang.


Di tulis oleh:
Azizan Aziz (pengasas EbookFotoKahwin & EbookFotografi)www.azizanaziz.com

===============================

Beberapa Tips untuk mendapatkan Gambar yang menarik

Semasa majlis akad nikah:

1) Pengantin perempuan jangan duduk terlalu jauh ke belakang dari pengantin lelaki semasa majlis akad nikah. Ini adalah untuk memastikan jurugambar dapat memasukkan gambar kedua-dua pengantin di dalam satu gambar untuk shot-shot tertentu. Jika tidak pasti kedudukan yang sebenar untuk pengantin perempuan, sila bertanya dengan jurugambar terlebih dahulu.

2) Bagi kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan, kurangkan memandang ke bawah atau terlalu menunjukkan muka yang serious. Perasaan gementar, gemuruh dan sebagainya adalah perkara biasa dalam majlis pernikahan. Kadang-kadang sedikit ‘lakonan’ yang menunjukkan kegembiraan sebenarnya dapat mengurangkan perasaan gemuruh ini. Disamping gambar-gambar  yang menarik, perasaan gemuruh anda mungkin akan hilang sedikit demi sedikit.

3) Pastikan anda sampai awal di masjid, sekurang-kurangnya 15 minit lebih awal dari  masa yang dijanjikan. Pastikan juga semua dokumen yang diperlukan diperiksa terlebih dahulu. Kekalutan akibat tiba lewat atau tertinggal dokumen penting akan memberi kesan kepada gambar-gambar anda nanti. Disamping perasaan gemuruh yang sedia ada, anda mungkin akan merasa ‘down‘ dan ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada jurugambar yang bertugas dari segi interaksi anda dengan jurugambar.

4) Cara terbaik untuk kelihatan ceria semasa majlis akad nikah adalah dengan membawa 3 atau 4 orang rakan yang betul-betul rapat dengan anda. Percaya atau tidak perasan gemuruh anda akan hilang tanpa anda sedari. Pastikan rakan-rakan anda ini sentiasa bersama anda dari mula hingga akhir majlis.


Semasa majlis resepsi

5) Pastikan jurugambar anda diberitahu terlebih dahulu tentang aturcara majlis. Ini adalah amat penting jika majlis anda terdapat acara-acara tambahan seperti pertunjukkan silat, tarian dan sebagainya yang mungkin penting bagi jurugambar untuk membuat persediaan dari segi ‘shooting angle‘ dan sebagainya.

6) Sila beritahu jurugambar anda jika terdapat jurugambar lain atau pun anda ada menempah juruvideo berasingan. Ini adalah untuk memudahkan jurugambar anda bekerjasama dengan jurugambar/ juruvideo tersebut. Cara kerja dan ‘style‘ yang berlainan kadang-kadang boleh menyusahkan kedua-dua pihak. Perkara terbaik adalah dengan memberitahu dahulu nama-nama jurugambar/juruvideo yang turut bertugas di hari majlis anda. Perbincangan awal mungkin boleh diadakan untuk memastikan proses merakam hari bahagia anda berjalan lancar.

7) Di samping jurugambar/juruvideo tambahan, kehadiran jurugambar-jurugambar lain dikalangan saudara-mara dan rakan-rakan pihak pengantin jugak kadang-kadang boleh mendatangkan masalah kepada jurugambar yang bertugas. Perkara terbaik adalah dengan memberitahu mereka terlebih dahulu supaya memberi laluan kepada jurugambar utama dalam apa-apa situasi pun supaya tiada gambar atau ‘moments‘ yang terlepas.

8) Kedua-dua pengantin dinasihatkan supaya mempunyai lebih ‘eye-contact‘ dengan orang-orang sekeliling semasa majlis berlangsung. Ini bermaksud pengantin tidak selalu tunduk dan memandang ke bawah sepanjang masa (sama seperti perkara 2 di atas). Saat-saat seperti berjalan ke pelamin,semasa bersanding di pelamin dan semasa berada di meja makan beradab adalah saat terbaik untuk jurugambar merakamkan keceriaan dan kegembiraan anda semasa hari majlis.

9) Jika jurugambar anda menetapkan had masa untuk sesuatu sesi atau majlis, pastikan anda peka mengenai perkara ini. Ini adalah untuk memudahkan jurugambar anda membahagikan masa untuk sesi-sesi tertentu seperti posing di atas pelamin, dalam bilik pengantin dan sebagainya. Pengurusan masa yang tidak cekap akan membuatkan jurugambar tergesa-gesa mengejar masa dan ini akan memberi kesan kepada kualiti gambar yang dihasilkan. Melengah-lengahkan aturcara majlis, leka bersembang dengan rakan-rakan adalah antara perkara-perkara yang boleh menyebabkan kesuntukan masa. Sila berbincang dengan jurugambar anda jika tambahan masa diperlukan.

10) Jika terdapat sesi outdoor untuk hari yang sama selepas majlis, sila pastikan tempat pilihan untuk penggambaran tidak terlalu jauh dari lokasi majlis sehingga mengambil masa berjam-jam perjalanan. Ini adalah penting untuk memastikan apa yang dirancang oleh jurugambar dapat dilaksanakan dalam masa yang ditetapkan. Perjalanan yang jauh mungkin menyebabkan kesuntukan masa dan juga boleh menambah keletihan kepada kedua-dua pihak pengantin dan jurugambar.
Di tulis oleh:

Azizan Aziz (pengasas EbookFotoKahwin & EbookFotografi)
www.azizanaziz.com


TIPS FOTOGRAFI PERKAHWINAN

TIPS #1:MEMILIH GAMBAR DENGAN PANTAS

Semasa shoot, amalkan tabiat delete gambar on the spot. Ini boleh dilakukan ketika anda ada kelapangan (menunggu pengantin dan sebagainya). Antara kriteria gambar yang perlu di delete:
i) gambar berulang    ii)gambar blur    iii) gambar test shot    iv)gambar yang tiada nilai
Dengan membuat begini, anda dapat memotong separuh dari masa yang diperlukan untuk memilih gambar ketika proses editing.  Sebagai contoh jika sebelum ini anda perlu melihat kesemua 1000 keping gambar yang diambil, mungkin sekarang anda perlu lihat 500-600 keping sahaja!
 
 
TIPS #2: JOB WEDDING PERTAMA
Rasa berdebar-debar bila sampai di tempat majlis? Perkara biasa jika ini adalah tugasan-tugasan terawal anda.  Perasaan ini datang kerana semua tumpuan tetamu adalah kepada anda. Untuk mengatasi masalah ini, 10-15 minit yang pertama jangan shoot apa-apa sehinggalah tetamu sudah ‘leka’ dengan kehadiran anda.
Dalam 10-15 minit pertama ini anda mungkin boleh meninjau-ninjau kawasan majlis atau anda juga boleh memeriksa semua peralatan buat kali terakhir sebelum beraksi.

TIPS #3: TEKNIK ZEROING

Setiap kali sebelum memulakan job baru, amalkan membuat ‘zeroing’.  Zeroing bermaksud memastikan setting pada kamera anda adalah pada setting yang selalu anda gunakan.
Sebagai contoh, katakanlah malam sebelum job anda join sesi TT (teh tarik) dan mencuba perkara baru pada kamera anda dan menaikkan iso kepada nilai paling tinggi seperti 6400. Keesokan harinya anda terus shoot untuk job tanpa melihat pada nilai iso tersebut. Apa akan jadi pada semua gambar anda? Ya, jawapannya amatlah mengerikan. Jadi, amalkanlah membuat ‘zeroing’ pada kamera setiap kali sebelum job.
Untuk zeroing, perkara yang perlu dititik beratkan adalah white balance, saiz dan resolusi imej, nilai iso, metering, nilai eV dan lain-lain setting  yang mungkin penting bagi anda.

TIPS #4: KENALI AHLI KELUARGA PENGANTIN

Sebelum sesuatu majlis (akad/resepsi) kenalpasti betul-betul ibu-bapa & adik beradik  pengantin. Ini adalah kerana gambar-gambar mereka perlu diutamakan semasa shooting, dan bukannya gambar-gambar tetamu yang pengantin tidak kenal. Cara terbaik untuk mengenal ahli keluarga ini adalah dengan meminta pihak pengantin membawa gambar ahli-ahli keluarga mereka semasa proses perbincangan sebelum majlis.
Ataupun anda boleh mengenalpasti ahli-ahli keluarga ini sebelum atau semasa majlis akad nikah. Walaupun cara ini tidak disarankan namun sekurang-kurangnya untuk majlis resepsi anda sudah pun mengenali semua ahli-ahli keluarga penting pihak pengantin.

TIPS #5: KETAHUI ATURCARA MAJLIS

Adalah penting bagi pihak pengantin memberi aturcara majlis kepada anda (jurugambar). Ianya diperlukan untuk anda mengetahui jika ada acara-acara tambahan seperti silat, merhaban, atau lain-lain dan anda dapat bersedia di lokasi pada waktunya. Mungkin gambar-gambar ini termasuk dalam koleksi yang pengantin inginkan. Jika anda tidak peka, berkemungkinan besar pihak pengantin akan kesal jika tiada gambar diambil semasa berlangsungnya acara-acara tambahan ini.

TIPS #6: KELEBIHAN JURUGAMBAR KEDUA
Bawa jurugambar kedua ataupun jurugambar pembantu / assistant untuk tugasan anda. Banyak kelebihan jika anda membawa jurugambar pembantu, selain dari mengambil gambar dari sudut-sudut berlainan, jurugambar kedua juga mempunyai kelebihannya berikut:
i) Sebagai back-up jika mana-mana peralatan anda rosak   ii)Sebagai backup jika memori kad anda corrupted dan gambar-gambar dari jurugambar kedua masih selamat   iii)Sebagai teman berbual untuk bertukar-tukar idea dan buah fikiran.

TIPS #7: KENALKAN RAKAN KERJA ANDA KEPADA TUAN RUMAH
Jika anda membawa jurugambar tambahan (pembantu, tag-along dan sebagainya), sila perkenalkan mereka kepada tuan rumah atau maklumkan kepada pihak pengantin terlebih dahulu. Ini adalah untuk mengelakkan berlakunya salah faham jika tuan rumah tidak mengenali jurugambar yang anda bawa dan sekaligus mengelakkan kecurigaan yang mungkin timbul. Pemakaian unifom seragam (pakaian syarikat) juga digalakkan untuk tujuan ini.

TIPS #8: SETENGAH JAM PERTAMA

Setiap rumah, dewan atau tempat sesuatu majlis perkahwinan adalah suatu lokasi yang ‘asing’ bagi anda walaupun mungkin anda telah mengambil gambar di dewan yang sama berpuluh kali sebelum ini. Perasaan ini adalah biasa bagi kebanyakkan jurugambar perkahwinan. Untuk menghilangkan perasaan kekok ini, mulakan tugasan anda dengan menggunakan lensa tele (zoom). Penggunaan lensa tele ini membolehkan anda mengambil gambar jauh dari tetamu dan setelah perasaan kekok itu hilang anda bolehlah sedikit demi sedikit ‘bercampur’  di dalam kelompok tetamu. Disamping itu penggunaan lensa tele juga membolehkan anda mengambil gambar-gambar kandid tetamu / ahli keluarga sebelum pengantin tiba.

TIPS #9: BACKUP, BACKUP, BACKUP
Selesai saja sesuatu tugasan, pindahkan terus gambar-gambar dari kad memori anda ke komputer. Selepas memastikan semua gambar dalam keadaan baik (tiada yang rosak dan sebagainya), buat back-up pertama ke external hard disk. Seterusnya buat back-up kedua pada DVD-R. Simpan external hard disk dan DVD-R pada tempat yang berlainan. Back-up ketiga anda adalah gambar-gambar yang masih ada di dalam kad memori. Kad memori ini anda hanya format sehari sebelum tugasan seterusnya supaya jikalau apa-apa terjadi kepada komputer, external hard disk ataupun DVD-R, anda masih lagi mempunyai peluang terkahir iaitu salinan asal gambar-gambar  tersebut dari kad memori.

TIPS #10: TEKNIK MUDAH PILIH GAMBAR UNTUK ALBUM

Semasa penggambaran, fikirkan atau senaraikan apakah gambar-gambar yang selalu anda pilih semasa membuat editing custom album. Hasilkan gambar-gambar yang sama atau hampir-hampir sama semasa penggambaran dan ingat gambar-gambar ini dalam ‘memori sementara’ di fikiran anda. Selepas saja anda pindahkan semua gambar ke komputer, asingkan terus gambar-gambar  ‘pilihan’ ini dan secara tidak langsung anda telah pun siap 40% daripada proses menghasilkan album  pengantin.

Di tulis oleh:
Azizan Aziz (pengasas EbookFotoKahwin & EbookFotografi)
www.azizanaziz.com